Bismillahirrahmanirrahim بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَ
اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه وسلم
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَ بَرَكَا تُه
03 Ramadhan 1442H | 15 April 2021
Rasulullah SAW telah mengajar umatnya beberapa adab yang perlu diberi perhatian ketika berbuka puasa. Antara adab-adab itu ialah:
1. Membaca doa
Ibn ‘Umar r.a berkata: “Apabila berbuka puasa, Nabi SAW akan membaca :
"Hilanglah segala kehausan, segala urat-urat telah basah dan semoga tetaplah beroleh pahala"
ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
(Dzahabaz zhoma u wabtallatil ‘uruuqu wa thabatal ajru insyaallah)
– Hadis riwayat Abu Dawud -
Abdullah Ibn ‘Umar r.a berkata: “Apabila berbuka puasa bacalah:
"Ya Allah! sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkan aku"
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي
(Allahumma inni as aluka birahmatikal lati wasi’ta kulla syai in an taghfirali)”
- Hadis riwayat Ibn Majah -
Di samping doa-doa di atas, kita juga boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kerana di antara waktu yang mustajab (makbul) untuk berdoa adalah ketika berbuka puasa. Sabda Rasulullah SAW :
“Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka.”
~ Hadis riwayat Ibn Majah ~
2. Menyegerakan Berbuka Puasa
Disunnahkan juga kita menyegerakan berbuka puasa. Waktu paling afdal ialah ketika matahari mula terbenam atau dilaungkan azan Maghrib. Utamakan berbuka dari sibuk berzikir, membaca al-Quran atau ibadah lain kerana perintah Nabi s.a.w. Rasulullah SAW bersabda:
“Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka
sentiasa menyegerakan berbuka puasa.”
Hadis riwayat al-Bukhari
Di dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT telah berfirman maksudnya :
“Sebaik-baik hamba-ku menurut pandangan-Ku ialah orang yang
menyegerakan berbuka puasa.”
Hadis riwayat al-Tirmizi
3. Berbuka Puasa Dengan Buah Rutab, Tamar Atau Air
Rutab adalah buah kurma yang masak dan tidak dikeringkan. Ia lembut dan manis. Tamar pula adalah buah kurma yang telah dikeringkan sebagaimana yang banyak terjual di pasaran. Berbuka puasa dengan buah rutab, tamar atau air merupakan sunnah Nabi SAW Anas bin Malik r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan meneguk beberapa teguk air.”
Hadis riwayat Imam al-Tirmizi
4. Bersegera Mengerjakan Solat Maghrib
Hadis di atas tidak menafikan bahawa Rasulullah s.a.w juga menyegerakan solat Maghrib setelah berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air. Namun, sekiranya makanan malam telah terhidang disunnahkan menjamah makan malam terlebih dahulu walaupun solat telah didirikan. Setelah selesai menikmati hidangan, bersegeralah mengerjakan solatMaghrib. Sabda Rasulullah SAW :
“Apabila seseorang dihidangkan makan malam sedangkan solat (jemaah) telah didirikan, utamakan makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh-gapah menghabiskan makanan itu sehinggalah dia selesai dalam keadaan tenang.”
Hadis riwayat al-Bukhari
Menurut Imam al-Nawawi :“Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.”
5. Berbuka Puasa Secara Sederhana
Firman Allah SWT :
“Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indahsetiap kali kamu ingin ke tempat ibadat (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.”
Surah al-A’raaf : Ayat 31
Perlu diingatkan bahawa janganlah waktu berbuka puasa dijadikan medan untuk kita melepas geram kerana sehari suntuk tidak menjamah makanan atau minuman. Sewajarnya, ibadah puasa dijadikan medan untuk melatih jiwa seorang muslim yang bertakwa lagi penyabar direalisasikan ketika berbuka puasa dengan memakan makanan pada kadar yang tidak berlebihan. Sabda Nabi SAW :
“Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak mustahail (boleh dilakukan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan."
Hadis riwayat al-Tirmizi
6. Menjamu Makanan Untuk Berbuka Bagi Orang Berpuasa
Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya mengadakan majlis berbuka puasa untuk menjamu makan bagi mereka yang berpuasa terutamanya kepada orang-orang miskin, anak-anak yatim dan mereka yang ditimpa musibah. Firman Allah SWT :
“Mereka juga memberi makan sebarang makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan (sambil berkata dengan lidah atau hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah dan kami langsung tidak inginkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih"
Surah al-Insan: 8-9
Menjamu makan untuk berbuka puasa telah dijanjikan dengan ganjaran pahala yang begitu besar. Semakin ramai jumlah orang yang dijamu makan, semakin tinggilah jumlah gandaan pahalanya. Sabda baginda SAW :
“Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit.”
Hadis riwayat al-Tirmizi
Setiap hari yang datang adalah hari yang berharga.
Semoga kita senantiasa berada dalam rahmat, taufik dan hidayah Nya
اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه وسلم
رَبِّ اغْفِرْ لِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صَغِيْرًا
Ya Allah, ampunilah aku dan kedua orang tuaku, serta berilah rahmat kepada kedua-duanya,
sebagaimana mereka mendidikku pada waktu kecil.
Aamiin
سبحان الله
الحمد لله
لا اله إلا الله
الله اكبر
Catat Ulasan