Air Gelegak, Nanah Minuman Neraka
AIR mendidih, peluh, nanah, minuman penghuni neraka yang ketika di dunia hidup bergelumbang dengan rasuah, minum arak dan memakan benda-benda haram. Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati berkata, manusia di Padang Mahsyar menginginkan air dari Telaga Kauthar untuk menghilangkan kehausan mereka dan antara jalan bagi mendapatkannya ialah dengan mengikuti sunah Rasulullah SAW di sepanjang kehidupan.
BERDOA mohon keredaan Ilahi sepanjang hidup di dunia supaya sentiasa menjadi Mukmin bertakwa. Apabila tiba hari kebangkitan, manusia berada dalam keadaan sangat lapar dan kehausan yang lebih 70 kali ganda dahsyatnya daripada yang dirasakan ketika hidup di dunia dahulu. Melalui slot Mau'izati di IKIMfm, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani berkata, manusia di Padang Mahsyar menginginkan air dari Telaga Kauthar untuk menghilangkan kehausan dan antara jalan mendapatkannya ialah dengan mengikuti sunah Rasulullah SAW di sepanjang kehidupan.
Walaupun hanya seteguk sahaja air Telaga Kauthar, ia mampu menghilangkan segala kelaparan, dahaga dan kesedihan sepanjang tempoh berada di Padang Mahsyar. Namun, tidak semua umat Nabi Muhammad SAW berpeluang meneguk air di telaga itu. Sebaliknya, mereka beroleh minuman yang disediakan di dalam neraka iaitu hamim. Abdullah bin Isa al-Kharras menyebut daripada Daud, daripada Iqrimah bahawa Ibnu Abbas menyebut, hamim adalah panas yang membakar iaitu air yang masuk ke dalam kerongkong dalam keadaan panas. Air panas itu mendidih sejak Allah SWT menciptakan langit dan bumi sehinggalah tiba waktu penghuni neraka meminumnya dan dituangkan di atas kepala sehingga terlerai anggota tubuh badan mereka.
Air mata penghuni neraka Ibnu Wahab menyebut daripada Ibnu Zaid, hamim adalah air mata penghuni neraka yang terkumpul di dalamnya dan air itu diminum oleh mereka. Syabib menuturkan daripada Iqrimah, daripada Ibnu Abbas bahawa panasnya hamim itu sehingga tidak ada lagi tahap kepanasan selepasnya kerana kepanasan sudah berada di kemuncaknya. Diberi kepada penghuni neraka bersama besi pengait yang dimasukkan dalam tengkuk mereka.
Manusia yang diazab begini adalah kalangan mereka yang meminum arak, memakan rasuah dan makanan yang diharamkan Allah SWT ketika hidup dahulu. Rasulullah SAW sentiasa berpesan supaya jangan sesekali memasukkan sesuatu yang haram ke dalam tubuh badan kerana setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka nerakalah tempat sesuai bagi mereka.
Jenis minuman kedua diberi kepada penghuni neraka ialah ghassaq. Ibnu Abbas menyebut, ia mengalir daripada kulit dan daging orang kafir iaitu peluh yang ditadahkan, lalu diberi minum kepada ahli neraka lainnya. Ghassaq sejuk sifatnya dan apabila memasuki tubuh badan menyebabkan rasa amat sakit. Abdullah bin Amru menyebut, ghassaq adalah nanah kental yang keluar daripada tubuh badan orang kafir, bersifat pekat dan likat. Seandainya setitis sahaja ghassaq tumpah di bahagian barat, nescaya ia akan mencemari sehingga di bahagian timur neraka.
Mujahid pula berkata ghassaq sesuatu yang tidak mungkin dapat dirasakan kerana terlalu sejuk sifatnya. Qaab berkata, ia sengatan racun daripada seluruh binatang berbisa yang dikumpulkan dan apabila anak Adam mencelupnya dengan sekali celupan, kulit serta dagingnya terlepas daripada tulangnya, melekat di tumit lalu ditarik seperti dilakukan oleh seorang penarik pakaian. Saidi berkata, ghassaq adalah air mata penghuni neraka yang diminum bersama hamim. Diriwayatkan oleh Dharraj daripada Abu Haisam kepada Said, Rasulullah SAW bersabda: "Seandainya satu timba daripada ghassaq ditumpahkan ke atas dunia, nescaya seluruh penghuninya akan berbau sangat busuk." Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya dan tidak pula sebarang minuman kecuali air panas yang menggelegak dan air nanah yang mengalir." (Surah al-Naba', ayat 24-25)
Minuman ketiga bagi penghuni neraka ialah al-syadid seperti mana disebut dalam surah Ibrahim, ayat 17: "Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya) dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati (supaya terlepas dari azab seksa itu); dan selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat." Qatadah berkata, al-syadid adalah nanah bercampur darah yang mengalir antara daging dan kulit. Imam Ahmad dan al-Tarmizi meriwayatkan daripada Abu Umamah, sabda Rasulullah SAW: "Ia didekatkan kepada air nanah lalu mereka meminumnya dengan terpaksa.
Apabila air nanah itu berada dekat dengan mukanya maka terbakarlah ia dan berguguranlah kulit, kepala dan rambutnya. Apabila diminum air itu menyebabkan putus ususnya hingga keluar daripada duburnya." Arak rosakkan akal manusia Daripada Jabir, Rasulullah SAW bersabda: "Allah SWT berjanji, bagi sesiapa yang meminum satu minuman memabukkan yang dilarang di dalam Islam, kerana ia akan merosakkan akal dan menjatuhkan nilai dirimu lebih rendah daripada binatang. Dia akan diberi minuman di dalam neraka dengan peluh dan air bisa ahli neraka.
Mereka terbabit dengan minuman memabukkan seperti arak termasuklah 10 golongan, di antaranya mereka yang menuangnya, menghidang atau membawanya, akan turut menerima azab diberi minuman itu di dalam neraka kelak. Di dalam neraka terdapat sungai yang dipenuhi dengan nanah bercampur darah dan berbau busuk. Penghuni neraka akan disembam ke dalamnya, dibukakan mulutnya dan dipaksa meminum air itu."
Kredit/sumber: bharian.com.my
Catat Ulasan