Kaum Wanita Membantu Tentera Rasullulah Di Medan Uhud
Ini menyebabkan tentera Islam ketika itu dikatakan berpecah kepada tiga kumpulan yang menyebabkan kedudukan mereka menjadi semakin goyah.
Satu kumpulan mahu melarikan diri ke Madinah bagi menyelamatkan diri tanpa menghiraukan orang lain dan hanya mahu menunggu agar perang selesai.
Golongan ini terdiri daripada Walid bin Uqbah, Karijah bin Zaid dan Rifaah bin Ma'la.
Golongan kedua masih mahu bertempur dengan hebat dan bersemangat tinggi tanpa menghiraukan apa yang berlaku sama ada benar-benar baginda Rasulullah syahid mahupun tidak.
Ini kerana yang penting kemenangan kepada pasukan Islam.
Salah seorang daripada mereka, Tsabit bin Dahdah mengingatkan anggota tentera Islam dengan berkata: "Wahai kawan-kawanku kalangan Ansar! Sekiranya benar Muhammad sudah syahid, biarlah baginda syahid kerana Allah sahaja yang tidak akan mati buat selama-lamanya.
"Oleh itu berpeganglah kamu kepada agama kamu dengan kukuh dan kuat apatah lagi di medan perang ini.
"Allah sendirilah akan menolong dan memberikan kemenangan kepada kamu!"
Peringatan oleh Tsabiy ini sangat besar pengaruhnya kepada para tentera Muslimin yang tidak dinafikan ramai yang berada dalam keadaan bingung ketika itu.
Namun setelah mendengarkan kata-kata daripada Tsabit itu walaupun Tsabit bukannya kalangan pemimpin atau sahabat besar, ia berjaya membentuk kembali semangat juang yang tinggi untuk tentera Islam meneruskan peperangan dan cuba mengalahkan tentera Musyrikin.
Sementara golongan ketiga terdiri daripada 46 para sahabat dan panglima-panglima perang yang tetap teguh berada di sekeliling baginda Rasulullah.
Hanya mereka sahaja yang mengetahui keadaan dan kedudukan Rasulullah yang sebenarnya masih hidup. Golongan ini terus mempertahan dan melindungi baginda kerana itu lebih penting daripada segala-galanya.
Mereka membalas setiap serangan yang dilakukan terhadap baginda.
Kumpulan itu terdiri daripada Abu Bakar As Siddiq, Umar bin Al Khattab, Ali bin Abi Talib, Abdurrahman bin Auf, Zubair bin Al Awwam, Saad bin Abi Waqqas dan Abu Ubaidah bin Jarrah. Mereka terdiri daripada golongan Muhajirin.
Sementara golongan Ansar yang mengelilingi untuk mempertahankan Rasulullah terdiri daripada Abu Dujanah, Al Hubab bin Mundzir, Ashim bin Tsabit, Al Harits bin Shammah, Sahal bin Hanif, Saad bin Muaz dan Usaid bin Hudhair.
Namun dikatakan terdapat golongan keempat di saat-saat kedudukan tentera Islam mulai goyah.
Golongan itu ialah kaum wanita yang pada awalnya tidak ikut serta dalam pasukan tentera Islam. Tetapi apabila mereka mendapat tahu berita mengenai kematian Rasulullah dan begitu ramai tentera Islam yang terkorban, mereka bergegas ke medan Uhud.
Kaum wanita itu diketuai oleh Ummul Mukminin sendiri, Saidatina Siti Aishah dan rakan-rakannya yang lain iaitu terdiri daripada Nusaibah bin Kaab, Rumaisa bin Milhan dan ramai lagi.
Mereka membawa bersama uncang-uncang berisi air dan ubat-ubatan bagi merawat tentera-tentera Islam yang tercedera.
Kalangan wanita ini sebenarnya turut terdedah kepada bahaya dan ancaman serangan dari pihak musuh, sehinggakan dikatakan Nusaibah binti Kaab sendiri mengalami 12 luka di badannya.
Seorang lagi, Ummu Umarah iaitu daripada golongan Ansar, ikut terlibat dalam pertempuran. Pada awalnya dia hanya menyertai suaminya yang turut berperang bagi membantu menyediakan air untuk tentera Muslimin.
Namun apabila diketahui pasukan Islam dalam keadaan yang sangat terdesak, dia pun ikut bertempur melawan musuh dengan gagah berani.
Manakala Ummu Aiman daripada kalangan Muhajirin ikut bertempur melawan musuh sehingga dapat membunuh seorang askar Musyrikin bernama Hubab bin Arafah.
Walaupun mereka terdiri daripada golongan wanita yang sentiasa dilabel golongan yang lemah namun mereka tidak berganjak malah turut sama berjuang dengan barisan tentera lelaki yang lain bagi memastikan kemenangan tetap berpihak kepada Islam.
Catat Ulasan