RANGSANG BAYI BERCAKAP

Assalammualaikum w.b.t.

Walaupun Yaya belum berkahwin, jauh sekali mempunyai anak tapi tak salah kan kalau sesaja nak berkongsi ILMU..moga dapat jadikan panduan untuk diri sendiri kelak...hehe ^,^ selamat membaca!

Detik si kecil tersayang boleh mengeluarkan kata-katanya buat kali pertama dengan mengungkap perkataan seperti mama dan papa tentunya saat istimewa khususnya kepada ibu dan bapa.
Secara umumnya, bayi mula mempelajari cara pertuturan menerusi individu yang berada di sekeliling atau yang kerap bersamanya.

Lazimnya, bayi mula memberi tindak balas sebaik saja mereka dilahirkan manakala kanak-kanak normal boleh mengeluarkan perkataan seawal usia lapan bulan hingga ke usia setahun setengah.

Untuk itu, enam bulan pertama saat yang amat penting apabila ibu bapa harus berkomunikasi dengan bayi mereka dalam usaha merangsang kanak-kanak bercakap.

Seawal usia 10 hingga 12 bulan, bayi lazimnya sudah boleh mengungkap beberapa perkataan penting yang selalu didengarinya seperti papa, mama, baba, ibu dan umi.

Berikut beberapa panduan terhadap perkembangan percakapan bayi dan kanak-kanak mengikut usia. Kanak-kanak yang menunjukkan pencapaian 75 peratus daripada perkembangan pertuturannya boleh dianggap normal.

Namun, sekiranya terdapat sebarang masalah berkaitan perkembangan pertuturan anak, rujuklah kepada pakar dengan segera.

Bayi baru dilahirkan
Boleh mendengar dan membezakan sama ada bunyi datang dari kiri atau kanan. Mereka akan menggerakkan kepala ke arah sumber bunyi.

Bayi anda juga sepatutnya boleh memberi tindak balas kepada bunyi perlahan. Bayi mula senyum dan menunjukkan gerak balas kepada seseorang pada usia sebulan dan mengenali suara ibu bapa pada usia satu hingga dua setengah bulan.

Bayi usia tiga bulan
Bayi boleh meniru bunyi percakapan.

Bayi usia empat bulan
Bayi boleh menyebut satu suku kata contohnya ba, da, ga, gu.

Bayi usia lima bulan
Bayi menyebut beberapa suku kata berulang-ulang contohnya bababa dan lalala.

Bayi usia enam bulan
Bayi mula menyebut perkataan mudah yang kerap didengar seperti emak, ayah atau tak.

Bayi usia tujuh bulan
Kebanyakan bayi boleh menyebut mama dan dada yang tidak hanya merujuk kepada ibu dan ayahnya.

Bayi usia lapan bulan
Kebanyakan bayi boleh mengikut atau mematuhi arahan pendek yang disertakan dengan pergerakan badan atau tangan. Contohnya, meminta dia memegang objek atau tangan anda.

Bayi usia sembilan bulan
Dalam lingkungan usia ini, bayi sepatutnya boleh mematuhi arahan ringkas tanpa perlu ditunjuk dengan tangan.

Bayi usia 10 bulan
Sudah pandai menggunakan perkataan mama, emak atau ayah dengan betul.

Bayi usia 11 bulan
Biasanya sudah boleh menyebut satu patah perkataan selain emak atau ayah.

Bayi usia 12 bulan (setahun)
Sepatutnya bayi boleh menunjuk ke arah objek yang dikehendakinya.
(Sumber: Harian Metro online)
Terima kasih kerana membaca.
Sekian. Wassalam.. =)

Post a Comment

Terbaru Lebih lama

Iklan In-Feed (homepage)

" target="_blank">Responsive Advertisement